Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon memberi sebab berkenaan ketiadaan pertahanan muda negara, Feroz Baharudin dalam senarai 26 pemain ke kem latihan kebangsaan.
Skuad negara memulakan persiapan latihan kem kebangsaan hari ini (26 Disember) sebagai langkah awal sebelum terbang ke Qatar tidak lama lagi.
Harimau Malaya berada dalam detik terbaik selepas memungut tambahan +26.1 mata untuk melonjak 7 tangga ke kedudukan 130 dunia.
Malaysia juga menjadi negara ketiga terbaik di dunia dengan pungutan mata tertinggi pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Korea Selatan itu memaklumkan bahawa terdapat beberapa pemain yang terlepas panggilan ke kem latihan kebangsaan kali ini termasuklah pertahanan kental JDT itu.
Beliau memberitahu bahawa terdapat beberapa pemain yang berada dalam radanya namun perlu dipertimbangkan susulan beberapa halangan yang dihadapi.
“Saya gembira dengan semua pilihan yang saya dapat kecuali kecederaan pada dua pemain (iaitu) Sharul Nazeem dan Azam (Azmi Murad) dari Terengganu. Mereka mengalami kecederaan jadi kita tak boleh memilih mereka.”
“Saya ada juga nak jemput Feroz (Baharuddin) tapi beliau dan pasangannya nak berkahwin. Jadi, tahniah kepada beliau kerana membina sebuah keluarga baru. Yang lain semua sudah berkumpul (di kem Harimau Malaya) setakat ini. Jadi, saya rasa gembira untuk skuad ini.”
Beliau juga berpuas hati dengan barisan pemain yang dipanggil kali ini dengan kelebihan fizikal menjadi aspek penting yang dititikberatkannya.
Malaysia bakal terbang ke Qatar bagi menghadapi aksi persahabatan menentang pasukan ke-91 dunia, Syria dengan Malaysia masih memiliki satu sahaja pasukan lawan sebelum kejohanan berprestij itu berlangsung.