Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon berharap situasi yang dihadapi anak buahnya ketika menentang Melaka FC tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Harapan itu dizahirkan beliau selepas melihat The Red Giants mengalahkan Melaka FC 3-2 di Stadium MBPJ pada 6 September lalu.
Aksi tersebut menyaksikan Selangor pada awalnya selesa mendahului menerusi dua gol Chrigor Moraes. Meskipun begitu, mereka kemudiannya beraksi dengan 10 pemain apabila Kay Tejan dilayangkan kad merah.
Melaka turut menyamakan kedudukan hasil gol Syahir Rashid dan Do Dong-hyun. Selangor kemudiannya meraih gol kemenangan menerusi Jefferson Tabinas.
Pan-gon mengakui gembira melihat Selangor berjuang habis-habisan untuk mendapatkan kemenangan. Pada masa yang sama, beliau secara berseloroh berharap perkara itu tidak tidak berulang lagi.
“Ini bukan kes istimewa. Kami menjangkakan sesuatu yang akan berlaku dalam permainan. Seperti Shopee Cup, kami mempunyai kes yang sama (bermain dengan 10 pemain). Jika ada kes (situasi itu berlaku), kami perlu menguruskannya dengan baik.
“Pemain kami telah melakukan kerja yang bagus. Pada saat terakhir, kami telah dibolosi dua gol di mana itu perkara tidak normal. Tapi pada akhirnya, kami mendapat gol yang menggembirakan penyokong.
“Itu sangat menarik dan harap-harap semua penyokong The Red Giants menikmatinya. Tapi (pada masa akan datang) Kita tidak mahu melihat perkara seperti ini lagi,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor di tangga ketiga liga dengan sembilan mata. Meskipun berkongsi mata dengan Kuching City FC, The Cats telah beraksi lebih satu perlawanan.