Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon akhirnya memberi sebab mengapa dirinya begitu yakin untuk menjadi jurulatih Harimau Malaya.
Pengendali berusia 53 tahun itu sedang melakukan tugas yang cukup cemerlang bersama Harimau Malaya ketika ini termasuklah mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Syria tempoh hari.
Beliau dalam sesi sidang media pra-perlawanan Malaysia menentang China akhirnya memberi sebab tentanh pilihannya untuk menjadi pengendali skuad kebangsaan.
Katanya, beliau tidak pernah ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut dan yakin boleh memenuhi segala sasaran yang telah ditetapkan.
“Saya begitu yakin selepas melihat skuad Malaysia. Mereka memiliki potensi dan kualiti yang begitu baik. Cuma, mereka tidak sedar bahawa mereka sebegitu bagus.”
“Saya begitu yakin untuk menerima tawaran ini (menjadi jurulatih Malaysia) dan boleh memenuhi sasaran yang ditetapkan. Itulah sebabnya saya bersetuju untuk menjadi jurulatih Malaysia,” jelasnya kepada FAM.
Pan-gon juga gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh Malaysia sejak beliau mengendalikan pasukan.
“Saya juga gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh pasukan ketika ini.”
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia memperoleh +1.4 mata dengan kemenangan berdepan China mampu memberikan +6.94 mata untuk melonjakkan kedudukan ke tangga 133 dunia.
Malaysia akan berdepan China di Chengdu pada 9 September 2023 dengan kecemerlangan pasukan menjadi taruhan untuk mempersiapkan skuad negara ke Piala Asia 2023.