Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu mengambil pendekatan yang berbeza untuk aksi berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
Kim Pan-gon menegaskan itu antara sebab kenapa terdapat beberapa pemain diluar kebiasaan turut dipanggil ke kem kebangsaan.
“Kami akan mengambil pendekatan berbeza berdepan Kyrgyzstan. Saya tahu ramai pemain bagus diluar sana yang patut berada dalam senarai menunggu. Namun kami memilih senarai 25 pemain dan senarai menunggu kerana atas faktor taktikal. Kami mahu sesuatu yang berbeza.” ujar beliau.
Sewaktu ditanya tentang persiapan skuad Kyrgyzstan yang hadir tanpa beberapa pemain utama, ketua jurulatih itu mahu lebih fokus terhadap pasukan Malaysia sahaja.
“Tempoh hari saya memberi komen yang kasar terhadap pihak lawan. Saya tidak mahu melakukannya kali ini. Itu keputusan mereka untuk memanggil mana-mana pemain dan kita hanya perlu fokus pada pasukan kita.” tambah Kim Pan-gon.
“Bagi kami, kelayakan Piala Dunia amat penting dan merupakan kejohanan bola sepak terbesar. Jadi kami akan beri yang terbaik.” ujar beliau lagi.
Malaysia bakal diperkuatkan dengan beberapa nama baharu dan juga pemain yang kembali mendapat tempat untuk aksi kelayakan Piala Dunia ini seperti Sikh Izhan, Shahrul Saad, Afiq Fazail, Sumareh dan Mukhairi Ajmal.