Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon mahu memberikan bantuan sebaiknya kepada pemain sayap sensasi negara, Faisal Halim.
Bintang Selangor FC itu kini dalam fasa penggantungan selama sebulan menerusi penetapan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu bagaimanapun cakna dengan perkara tersebut tatkala Harimau Malaya kini dalam persiapan untuk membentuk gandingan terbaik menjelang aksi persahabatan September kelak.
Katanya, sungguhpun keputusan tersebut kelihatan memberi tamparan yang hebat buat persiapan pasukan kebangsaan, beliau jelas akan mencari jalan sebaiknya untuk membantu Faisal.
“Sebagai pemain, beliau (Faisal) telah bermain kesemua aksi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Beliau hanya terlepas beberapa perlawanan dan saya tidak rasa akan memberi kesan besar kepadanya.”
“Kita akan lihat kepada perkara ini. Kita akan bertanya kepada Faisal bagaimanapun boleh membantunya,” jelas Pan-gon dalam sidang media tersebut.
Beliau juga mahu memastikan kapten Harimau Malaya itu berada dalam persiapan terbaik tatkala beberapa kejohanan besar seperti persahabatan berdepan Syria dan China sebelum menghadapi tentangan India di Pestabola Merdeka.
Arif Aiman juga dilihat sudah berada dalam perancangan awal Pan-gon sebelum ke Piala Asia tahun hadapan.
Malaysia kini berada pada landasan terbaik untuk memperbaiki kedudukan pasukan yang berada di tangga ke-136 dunia ketika ini.