Skuad senior Malaysia menerima suntikan semangat apabila jurulatih pasukan, Kim Pan-gon memanggil kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero.
Perkara ini dinyatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial rasmi mereka hari ini.
“Pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero menyertai sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam ini sebagai pemain ke-26 skuad kendalian Kim Pan Gon itu bagi menghadapi Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini,” kata badan induk itu.
Sebelum ini, nama Aguero diletakkan dalam senarai pemain yang bersedia susulan 26 pemain yang dipanggil Pan-gon untuk skuad Harimau Malaya kali ini.
Kehadiran pemain tengah menyerang berusia 30 tahun itu akan menambah pilihan buat jurulatih Korea Selatan itu di bahagian serangan.
Berdasarkan semakan di Transfermarkt, Aguero sudah merekodkan 10 penampilan di peringkat antarabangsa bersama skuad negara dan dua gol.
Kali terakhir pemain berdarah Argentina itu mewakili Harimau Malaya ialah Oktober 2023 untuk kempen Pestabola Merdeka 2023. Aguero masuk sebagai pemain gantian semasa skuad negara melakar kemenangan 4-2 ke atas India.
Kehadiran bekas pemain Perak FC itu turut memperlihatkan keazaman Pan-gon untuk membantu Harimau Malaya melakar kemenangan besar ke atas Chinese Taipei.
Malaysia bakal bertemu The Blue Wings pada 11 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.