Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon bakal menjadi penentu kepada perjalanan pemain muda negara, Wan Kuzain Wan Kamal.
Pemain berusia 25 tahun itu kini beraksi di Amerika Syarikat bersama St Louis City SC 2 dan berjaya menjaringkan beberapa gol.
Impian sekian lama untuk melihat pemain kelahiran Amerika-Malaysia itu menyarung jersi pasukan kebangsaan bakal ditentukan oleh jurulatih negara.
Perkara ini telah diperincikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkenaan pelan FAM untuk menilai 3 hingga 4 pemain warisan yang berpotensi mewakili negara.
“Saya sudah maklumkan sebelum ini bahawa kami telah kenal pasti beberapa pemain. Kami juga mengalu-alukan jika ada maklumat atau maklum balas daripada luar.”
Keputusan ini bagaimanapun akan diserahkan sepenuhnya kepada jurulatih senior dan junior untuk membuat keputusan.
“Cuma pada akhirnya, kami akan bagi kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon atau Juan torres untuk menilai sama ada boleh dipanggil atau tidak.”
Selain daripada nama-nama yang sering didengar, FAM juga telah memantau beberapa pemain warisan lain yang berpotensi untuk menyarung jersi kebangsaan.
“Memang kami sudah bagi tiga atau empat (nama) pemain warisan untuk mereka nilai,” katanya pada sesi sidang media mesyuarat jawatankuasa FAM kali ke-10.
Sebagai rekod, Wan Kuzain belum pernah mewakili Malaysia dalam apa jua pertandingan namun pernah dipanggil untuk bersama skuad bawah 23 tahun negara pada November 2019 bagi menghadapi Sukan Sea namun masalah dokumentasi menyekat hasrat Kuzain mewakili negara.
Baru-baru ini, laman Transfermarkt memaparkan bahawa status kenegaraan Kuzain telah berubah kepada Malaysia dan Amerika Syarikat sekaligus memungkinkan peluang untuknya beraksi buat Harimau Malaya.