Ketua jurulatih pasukan Malaysia, Kim Pan-gon berpuas hati dengan keadaan terkini padang di Stsdium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang sepak mula Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.
Menerusi satu kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengendali kelahiran Korea Selatan itu meletakkan harapan besar agar aksi pertama berdepan Kyrgyzstan dapat dilangsungkan di gelanggang keramat Harimau Malaya.
Sungguhpun mengakui keadaan padang sebelum ini tidak seperti yang diharapkan, beliau yakin keadaan padang semakin pulih menjelang aksi tidak lama lagi.
“Stadium Nasional, Bukit Jalil merupakan Rumah Harimau Malaya. Para penyokong dan pemain sendiri sudah cukup biasa dengan suasana di stadium ini. Ia kubu kuat pasukan Harimau Malaya.”
“Besarlah harapan saya supaya perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November ini akan tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional.”
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan bersama FAM dan PSM, beliau memaklumkan keadaan padang kini lebih baik walaupun tidak mencapai 100 peratus.
“Berdasarkan tinjauan terkini bersama pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) semalam, kami mendapati bahawa keadaan padang adalah bertambah baik berbanding ketika Pestabola Merdeka, bulan lepas.”
“Dari segi teknikal, keadaan padang di Stadium Nasional pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini. Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” jelasnya kepada FAM.
Malaysia akan membuka tirai aksi berdepan pasukan ke-96 dunia, Kyrgyzstan di laman sendiri sebelum terbang ke Taiwan bagi aksi kedua kumpulan.