Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengharapkan sokongan padu penyokong bila skuad negara turun menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok.
Sokongan padu penyokong atau Ekor Harimau Malaya ditagih kerana kehadiran mereka memberi aura berbeza kepada Malaysia setiap kali turun menentang pihak lawan.
Hal ini turut disokong dengan statistik perlawanan skuad negara setiap kali beraksi di tempat sendiri. Daripada 16 perlawanan di tempat sendiri termasuk SNBJ di bawah bimbingan Pan-gon sejak awal tahun 2022, skuad negara merekodkan 13 kemenangan.
Ini termasuk kemenangan besar 10-0 ke atas Papua New Guinea, menundukkan India 4-2 dan mengalahkan Kyrgyzstan 4-3.
Kesan positif sokongan padu yang diberi Ekor Harimau Malaya kepada skuad negara turut diakui pengendali The Blue Wings, Gary White. Beliau menyifatkan kehadiran penyokong di SNBJ esok bakal mewujudkan atmosfera yang meriah buat kedua-dua pasukan.
“Kita harap stadium (SNBJ) dipenuhi dengan penyokong sebab ini dapat menambah minat semua orang dan lebih semangat untuk beraksi di hadapan penyokong yang ramai,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.
Atas sebab inilah, Pan-gon mengharapkan sokongan padu Ekor Harimau Malaya bagi membantu skuad negara merealisasikan misi tujuh gol mereka ke atas Chinese Taipei.
“Bagi pasukan lawan, amat sukar beraksi di (Stadium Nasional) Bukit Jalil kerana kita mempunyai ramai penyokong atau Putera Malaya (Ekor Harimau Malaya).
“Dengan persekitaran sebegitu dan cuaca, ia amat sukar bagi mana-mana pasukan lawan. Jadi, kita mempertaruhkan nasib dengan persekitaran ini.
“Jadi, harapnya esok ramai penyokong akan datang ke stadium untuk mewujudkan persekitaran terbaik dan menyokong kita serta memberi tekanan kepada pihak lawan,” ujarnya.
Berdasarkan data jualan tiket perlawanan yang disiarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 7,010 tiket perlawanan sudah terjual setakat ini.
Penyokong yang belum berkesempatan mendapatkan tiket secara dalam talian boleh melakukannya dengan menekan pautan ini.
Skuad negara bakal turun menentang Chinese Taipei di SNBJ esok pada jam 9.00 malam.