Selangor mengumumkan ketibaan jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Pelantikan itu diumumkan menerusi suatu hantaran di laman media sosial Selangor FC yang menyaksikan kepulangan Kim Pan-gon ke bumi Malaysia untuk membimbing skuad utama Merah Kuning.
Sementara, Christophe Gamel yang mengambil alih tugas jurulatih sebelum ini pula bakal memulakan peranan baru sebagai Pengarah Teknikal kelab berkuatkuasa serta-merta.
“Kelab Bola Sepak Selangor ingin mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah,” umum pihak pengurusan kelab pada Isnin.
“Bekas Ketua Jurulatih Interim, Christophe Gamel telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC yang baharu berkuatkuasa hari ini.”
Nama Kim Pan-gon tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas jurulatih dari Korea Selatan itu pernah membimbing pasukan kebangsaan dari 2022 hingga 2024.
Ujian sulung Kim Pan-gon bersama Selangor bakal bermula pada Sabtu, 10 Januari apabila juara Challenge Cup musim lalu itu bakal bertandang ke Brunei untuk menentang DPMM FC.