Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyarankan kuota import K-League 1 diubah agar membantu kelab-kelab Korea Selatan bersaing di pentas Asia.
Cadangan itu disuarakan beliau selepas mengamati empat aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) membabitkan pasukan-pasukan Korea Selatan. Ini termasuk pasukannya, Ulsan HD.
Sebelum ini, AFC mengumumkan pemansuhan kuota pemain import untuk kejohanan peringkat Asia termasuk ACLE bermula pada musim 2024/25. Pengumuman ini menyaksikan pasukan-pasukan yang bertanding boleh memanfaatkan ramai pemain import untuk aksi di peringkat berkenaan.
Perubahan ini mendorong beberapa pasukan meletakkan lapan atau sembilan tonggak import dalam kesebelasan utama mereka. Antara pasukan yang berbuat demikian ialah juara Liga Super 10 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT kini di tangga keempat Liga Timur ACLE selepas meraih satu kekalahan, satu keputusan seri dan dua kemenangan. Ini termasuk kemenangan ke atas Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 November lalu.
Percaturan sama turut digunakan juara Thai League 1 musim 2023/24, Buriram United. Meskipun kini di tangga ketujuh Liga Timur ACLE, Buriram turut merekodkan satu kekalahan, satu keputusan seri dan dua kemenangan.
Menariknya, kelab Korea Selatan, Pohang Steelers turut menjadi mangsa pasukan Asia Tenggara itu selepas tewas pada 22 Oktober lalu.
Pan-gon melihat penambahan kuota pemain import amat diperlukan kelab-kelab K-League 1 jika ingin terus bersaing di peringkat Asia. Ini kerana jika situasi ini berterusan, ini akan menjejaskan kedudukan ranking K-League 1 dari segi slot kelayakan ke Asia.
“Kuota pemain import dalam Liga Juara-Juara AFC sudah dimansuhkan. Walau bagaimanapun, K-League masih belum lagi membuat sebarang perubahan.
“Sudah tiba masanya untuk K-League mempertimbangkan isu (kuota pemain import) ini,” katanya seperti yang dipetik Korea Football News.
Saranan ini timbul tatkala beberapa liga Asia sudah mula mengubah kuota pemain import mereka. Antara liga yang berbuat demikian ialah Thai League 1.
16 kelab liga utama Thailand itu sebulat suara bersetuju menambah kuota pemain import kepada tujuh pemain. Kelab-kelab Thai League 1 turut meluluskan cadangan tiada had untuk pemain import dari negara-negara ASEAN.
Berdasarkan semakan, kelab-kelab K-League 1 hanya boleh mendaftarkan enam pemain import termasuk seorang pemain import Asia. Hanya empat pemain saja yang dibenarkan beraksi di atas padang.