Ulsan HD teruja untuk turun berdepan jaguh Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.
Pasukan kendalian Kim Pan-gon turun dalam momentum terbaik selepas muncul juara K-League 1 buat kali ketiga berturut-turut.
Wakil Korea itu bagaimanapun tidak mengharungi permulaan baik bagi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) termasuklah tewas kepada Vissel Kobe dengan keputusan 2-0.
Beliau bagaimanapun yakin dengan pengalaman yang dimiliki oleh anak buahnya untuk turun dengan persembahan terbaik di gelanggang lawan sambil memuji kekuatan JDT ketika ini.
“Saya sangat teruja dengan aksi esok. Ini pasukan terbaik di Asia Tenggara. Tahniah kepada DYAM Tunku Ismail kerana membina pasukan yang baik ini.
“Bagi kami, kami tidak mengharungi tiga aksi yang kurang baik. Ini menjadi motivasi terbaik untuk terus bersaing dan memberikan yang terbaik di atas padang.
“JDT sudah beraksi dengan baik dalam tiga aksi sebelum in. Kita akan cuba turun untuk memberikan yang terbaik dan tidak boleh menoleh ke belakang lagi,” katanya kepada sesi sidang media pra perlawanan hari ini.
Pengendali berusia 56 tahun ini sedar cabaran hebat yang bakal diberikan oleh JDT yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Saya tahu betapa kuatnya JDT di laman sendiri dan tidak mudah untuk pasukan datang dan beraksi di sini. Sungguhpun Ulsan HD tidak memiliki rekod baik di SSI, kami akan buat yang terbaik.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia. Harapan saya adalah kami dapat beraksi dengan baik selepas permulaan kurang baik dalam saingan ACLE,” tambahnya.
Aksi antara JDT vs Ulsan HD akan berlangsung pada 5 November pada jam 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim.