Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon membuat keputusan untuk menyisihkan 4 pemain senior berdepan Kyrgyzstan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyenaraikan 26 pemain bagi menghadapi dua perlawanan kali ini terutamanya bagi melayakkan diri ke pusingan ketiga kejohanan.
Antara pemain yang mencuri tumpuan ialah kepulangan peledak Kedah Darul Aman, Syafiq Ahmad ke kem Harimau Malaya sambil beberapa muka baharu seperti Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra’op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).
Malaysia kini terpaksa menelan hakikat untuk tidak membawa beberapa muka utama selepas pengendali kelahiran Korea Selatan itu terpaksa mencongak percaturan baharu.
Menerusi kenyataan FAM, 4 pemain utama seperti Arif Aiman, Faisal Halim, Azam Azmi dan Romel Morales tidak dapat dibawa ekoran kecederaan.
“Beberapa pemain terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.”
Arif Aiman dilaporkan mengalami kecederaan dan tidak beraksi dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan tempoh hari.
Faisal Halim pula masih lagi dalam proses rawatan susulan kelecuran tahap 4 yang dialami akibat diserang individu misteri di salah sebuah pusat membeli-belah terkemuka.
Dua lagi pemain iaitu Azam Azmi dan Romel masih lagi dalam proses pemulihan daripada kecederaan dan tidak dapat dibawa kali ini.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.