Khidmat jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon bersama pasukan Malaysia telah mendapat perhatian Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman media sosial rasmi FIFA, FIFA menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan dan dukungan kepada pengendali dari Korea Selatan itu untuk kekal membimbing dan menerajui skuad Harimau Malaya.
Biarpun sebelum ini timbul spekulasi yang mengatakan bahawa kontrak Kim Pan-gon bersama Malaysia akan ditamatkan, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kontrak Kim Pan-gon bersama Malaysia akan kekal sehingga tahun 2025.
FIFA dalam kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa Kim Pan-gon akan kekal dan terus berkhidmat buat Malaysia.
“Kim Pan-gon kekal bersama Harimau Malaya. Beliau memerlukan sokongan dari ekor Harimau Malaya,” tulis FIFA.
Menerusi tinjauan MakanBola di laman media sosial rasmi FIFA, hantaran yang dimuat naik itu telah mendapat sambutan ramai dan lebih 200 tulisan membanjiri ruangan komen yang menyatakan sokongan kepada Kim Pan-gon.
Untuk rekod, sejak membimbing Malaysia pada tahun 2022, pengendali berusia 55 tahun ini telah mencepai banyak kejayaan bersama Harimau Malaya. Malaysia dan Kim Pan-gon berjaya menjadi naib johan dalam kejohanan Kings Cup pada tahun 2022 dan naib johan bagi Pesta Bola Merdeka 2023.
Kim Pan-gon telah berjaya melonjakkan kedudukan ranking FIFA Malaysia hingga ke kedudukan 135 dunia ketika ini berbanding 174 kira-kira beberapa tahun yang lalu.