Kontrak Kim Pan-gon Bersama Harimau Malaya Terjawab
MakanBola
FA Malaysia

Kontrak Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon bersama Harimau Malaya kini terjawab.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu telah mengambil alih skuad kebangsaan sejak tahun 2022 dan membantu negara mengecapi pelbagai kejayaan.

Jurulatih berusia 55 tahun itu berjaya melonjakkan ranking FIFA negara hingga ke kedudukan 133 dunia ketika ini berbanding 174 kira-kira dua tahun yang lalu.

Sungguhpun terdapat spekulasi yang mengatakan beliau mahu meninggalkan skuad negara, Kim Pan-gon berkali-kali menyatakan pendirian untuk kekal mengemudi Harimau Malaya.

Beliau telah membantu Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2023 di Qatar secara merit selepas 43 tahun dan juga mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan baik.

Menerusi satu kenyataan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi, pihak FAM kini masih komited terhadap perancangan asal terutamanya ketika jurulatih itu masih memiliki kontrak bersama Malaysia.

“Setakat ini tiada perbincangan lain bersama Jawatankuasa Pengurusan Kebangsaan atau jurulatih sendiri. Kita akan mengikut kontrak yang sedia ada. Kita akan kekalkan kontraknya sampai tahun depan (2025) dahulu.

“Segala pertandingan yang bakal diharungi sebelum kontraknya tamat akan tetap dikendalikan oleh Kim Pan-gon, jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.

Malaysia bakal menghadapi aksi Pestabola Merdeka sebelum memulakan langkah ke Kelayakan Piala Asia 2027 bermula tahun hadapan.