Advertisements
Kim Pan-gon Terdiam Ketika Ditanya Mengenai Padang SNBJ
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali skuad senior Malaysia, Kim Pan-gon terdiam apabila ditanya media tentang status terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Sebelum ini, isu padang SNBJ timbul apabila tidak berada dalam keadaan terbaik apabila Malaysia menentang Oman pada penghujung Mac lalu.

Kualiti padang SNBJ yang kurang elok ketika itu bukan saja mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong. Malah, ini turut mengundang kritikan jurulatih Oman dari Republik Czech, Jaroslav Silhavy.

Susulan itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi mengembalikan semula kualiti padang ke tahap terbaik.

Malah, PSM juga sentiasa berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang situasi terkini padang SNBJ.

Imej terkini padang SNBJ yang disiarkan semalam menunjukkan padang itu dilihat berada dalam keadaan baik.

Justeru, apabila diminta mengulas tentang keadaan padang SNBJ ketika ini, jurulatih Korea Selatan itu terdiam seketika sebelum memberi maklum balas bersifat diplomatik.

“Hari ini, kita memilih untuk tidak menjalani latihan di (Stadium Nasional) Bukit Jalil. (Ini) kerana kita sudah biasa pergi ke sana.

“Jadi, kita cuba mengurangkan (kesan) dari segi logistik untuk memberi lebih banyak (tempoh) pemulihan dan rehat kepada para pemain.

“OK, tentang padang saya tak boleh cakap banyak. Saya fikir keadaannya sama buat pihak lawan, sama macam kita. Jadi, harapnya, padang cukup bagus untuk kita bermain (esok),” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di SNBJ hari ini.

Malaysia bakal turun menentang Chinese Taipei di SNBJ esok pada jam 9.00 malam ini.