Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menganggap bahawa aksi menentang Kyrgyzstan berada dalam situasi berbeza.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu memberitahu bahawa pasukannya dalam keadaan bersedia untuk menempuhi satu lagi cabaran hebat.
Sungguhpun tanpa beberapa tonggak utama, keyakinan Pan-gon terhadap barisan pemain yang dipanggil kali ini amat tinggi.
“Perlawanan ini penting kepada kedua-dua pasukan. Sesiapa yang memenanginya akan layak ke kelompok 18 pasukan terbaik.
“Malaysia tahu perlawanan ini tidak mudah. Bermain di gelanggang lawan menentang Kyrgyzstan. Namun begitu, semua halangan ini tidak akan menghentikan langkah Malaysia kerana samangat juang dan keinginan pasukan amat tinggi.
Beliau juga waspada dengan rekod Malaysia yang kurang baik di laman lawan namun optimis aksi ini bakal jadi berbeza daripada sebelumnya.
“Ya awak betul. Kami tidak memiliki rekod yang baik di gelanggang lawan. Sukar untuk memenanginya namun perlawanan esok berbeza, ia satu aksi yang amat penting.
“Ini merupakan kali pertama peluang Malaysia layak ke pusingan akhir secara merit. Situasi ini sebenarnya membuatkan kami lebih kuat. Saya, FAM dan para pemain bermotivasi tinggi bagi perlawanan esok,” jelasnya ketika sesi sidang media pra-perlawanan di Bishkek, Kyrgyzstan.
Beliau juga memberitahu bahawa perlawanan menentang pasukan ke-100 dunia itu bakal menjadi penentu kepada perjalanan Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.