Perlawanan Malaysia menentang Kyrgyzstan esok dilihat peluang terbaik untuk memadamkan rekod buruk skuad negara di Asia Tengah.
Berdasarkan semakan yang dibuat akaun X, HarimauMYstats, skuad negara merekodkan tiga kekalahan di bumi Asia Tengah sejak tahun 1999.
Tiga perlawanan tersebut membabitkan dua negara kuasa Asia Tengah, Uzbekistan dan Tajikistan. Dua daripadanya merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan satu lagi merupakan perlawanan kelayakan Piala Asia 2011.
Perlawanan pertama menyaksikan Harimau Malaya berdepan Uzbekistan pada tahun 1999. Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dimanfaatkan The White Wolves apabila menewaskan Malaysia 3-0.
10 tahun kemudian, kedua-dua negara kembali bertemu untuk aksi kelayakan Piala Asia 2011. Perlawanan yang berlangsung di Stadium JAR, Tashkent pada 14 November 2009 menyaksikan Malaysia tumbang 3-1 kepada Uzbekistan.
The White Wolves menyumbat tiga gol menerusi Server Djeparov dan dua gol Alexander Geynrikh. Harimau Malaya pula membalas menerusi satu gol yang disumbang Zaquan Adha Abdul Radzak.
Dan akhir sekali, pertembungan antara Malaysia dengan Tajikistan pada 8 Ogos 2014. The Crowns yang ketika itu dibimbing Muhsin Muhammadiyev merekodkan kemenangan selesa 4-1 ke atas Harimau Malaya.
Kini, skuad negara bertandang ke rantau itu buat kali keempat. Perlawanan menentang Kyrgyzstan bukan saja berkisar tentang soal kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Malah, ini juga peluang terbaik buat anak buah Kim Pan-gon untuk memadamkan rekod pedih Malaysia di Asia Tengah.
Malaysia bakal berentap dengan The White Falcons di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek esok pada jam 11.00 malam.