Sukan Asia: Azeem Fahmi Cedera Di Final 100m
UltraSukan
MSN Malaysia

Pelari pecut Malaysia, Azeem Fahmi terlepas peluang memperbaiki pencapaian pingat di pentas Sukan Asia apabila mengalami kecederaan dalam final acara 100 meter (m).

Selepas layak ke final dalam saringan separuh akhir ketiga di tempat kedua, pelari berusia 22 tahun itu berharap dapat memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang dilakar di Hangzhou, China pada edisi 2022.

Meskipun begitu, Azeem dijangka berdepan cabaran hebat jaguh Thailand, Puripol Boonson. Puripol membuktikan dirinya bukan calang-calang apabila merekodkan catatan 9.91 saat (s) di peringkat separuh akhir.

Catatan tersebut juga merupakan rekod catatan masa terbaru untuk Sukan Asia setakat ini. Justeru, saingan final acara 100 meter antara Azeem dan Puripol dijangka sengit.

Selain mereka, pemenang pingat emas edisi lalu dari China, Xie Zhenye juga mahu mempertahankan gelaran juara miliknya.

Sebaik saingan bermula, kesemua pelari termasuk Azeem cuba memberi saingan. Walau bagaimanapun, beliau tiba-tiba mengalami kesakitan ketika berlari dan terpaksa menghentikan larian.

Puripol menepati ramalan dengan mengungguli final acara 100m. Lebih menarik, beliau sekali lagi mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 9.90s.

Azeem kemudiannya menerima rawatan daripada pasukan perubatan selepas tamat acara. Wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran percaya anak jati Teluk Intan, Perak itu mengalami kecederaan hamstring.

Situasi ini dijangka menimbulkan kebimbangan kepada kem olahraga negara. Ini kerana Azeem sebahagian daripada kuartet acara 4×100 meter untuk acara itu nanti.