Jaguh pecut 100 meter Malaysia, Azeem Fahmi mengakhiri kemarau 41 tahun pingat Sukan Asia dalam acara itu dengan meraih pingat gangsa dalam aksi final hari ini.
Berlari di lorong kelapan, Azeem merekodkan catatan masa 10.11. Walaupun gagal meraih pingat emas, ini masih satu pencapaian membanggakan buat Azeem kerana ini penampilan sulung beliau di temasya berprestij itu.
Pelari dari China, Xie Zhenye memenangi perlumbaan final 100 meter dengan catatan masa 9.97. Manakala Puripol Boonson dari Thailand meraih pingat perak dengan catatan masa 10.02.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 100 meter ialah menerusi Rabuan Pit pada 1982. Rabuan ketika itu memenangi pingat emas dengan Jang Jae-keun (Korea Selatan) meraih pingat perak.
Manakala pelari pecut Thailand, Suchart Jairsurapap pula meraih pingat gangsa. Pencapaian Rabuan dianggap hebat kerana Suchart pada ketika itu memegang gelaran Raja Pecut Asia.
Acara 100 meter ini juga turut menyaksikan rakan senegara Puripol, Soraoat Dapbang disingkirkan selepas tersilap membuat larian awal.
Pencapaian ini bakal mendorong Azeem untuk melakar pencapaian lebih baik dalam acara 200 meter dan 4×100 meter.