FAM Nafi Laporan Media Insiden Pahang Rangers-JDT
MakanBola
JDT Futsal

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan laporan media yang melaporkan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) mencetuskan kekecohan ketika aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) antara Pahang Rangers FC dan pasukan itu baru-baru ini.

Penafian itu turut disokong dengan laporan rasmi pegawai pertandingan yang berada di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan ketika insiden itu berlaku.

“Berdasarkan laporan rasmi Pegawai Pertandingan yang berada di lokasi, insiden pada minit ke-11:07 itu dipercayai bermula susulan tindakan saling memprovokasi antara penyokong kedua-dua pasukan. Laporan itu turut tidak menyebut bahawa penyokong JDT merupakan kumpulan yang mencetuskan kekecohan tersebut.

“Sebaliknya, berdasarkan pemerhatian pegawai bertugas mendapati beberapa penyokong Pahang Rangers FC yang dikenal pasti bukan daripada kumpulan Ultras Pahang menghampiri kawasan penyokong Boys of Straits (JDT), sebelum berlaku pertikaman lidah dan insiden balingan air.

“Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal dengan segera oleh anggota RELA yang bertugas, dengan kerjasama pemain kedua-dua pasukan yang turut membantu meredakan keadaan. Perlawanan kemudiannya disambung semula setelah keadaan disahkan terkawal,” kata FAM dalam satu kenyataan.

Badan induk itu turut memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengambil langkah keselamatan dengan menempatkan anggota di kawasan pemisah antara penyokong kedua-dua pasukan.

Penyokong JDT juga diarahkan untuk kekal di dalam stadium buat sementara waktu sebelum dibenarkan keluar secara terkawal dengan kawalan dan iringan polis sehingga ke laluan menuju lebuh raya.

FAM turut menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang tuduhan melulu sebelum merujuk kepada fakta dan kenyataan rasmi pegawai pertandingan.

“Sehubungan itu, FAM berharap semua pihak tidak membuat kesimpulan atau menuding kesalahan kepada mana-mana kumpulan penyokong tanpa merujuk kepada fakta dan laporan rasmi Pegawai Pertandingan.

“FAM akan meneliti laporan penuh berhubung insiden tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terhadap peraturan dan disiplin pertandingan,” tambahnya.