Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meluahkan rasa puas hati selepas Malaysia membuka kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh.
Skuad negara bermula baik apabila Arif Aiman Hanapi meledak dua gol pada babak pertama sebelum Bergson Da Silva melengkapkan kemenangan menerusi jaringan pada awal separuh masa kedua.
Tan Cheng Hoe mengakui perlawanan tersebut bukan mudah buat anak buahnya, lebih-lebih lagi apabila mereka perlu beraksi pada jam 4 petang waktu tempatan di Stadium Gelora Bung Karno.
Beliau bagaimanapun gembira dengan keputusan yang diraih selain berharap skuad negara dapat meneruskan momentum positif tersebut dalam perlawanan seterusnya.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain atas kemenangan pertama menentang Bangladesh.
“Kami tahu ia bukan perlawanan yang mudah. Ia adalah perlawanan yang sengit, tambahan pula kami bermain pada pukul 4 petang.
“Sudah tentu, sebagai jurulatih, saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini. Harapnya kami dapat mengekalkan momentum yang baik ini,” katanya.
Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe turut mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki meskipun Malaysia berjaya mencatat kemenangan bergaya.
Menurutnya, aspek transisi menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian selepas pasukan negara beberapa kali kehilangan bola dengan terlalu mudah.
“Bagaimanapun, ada beberapa aspek yang perlu kami perbaiki, terutamanya ketika melakukan transisi. Kadangkala, kami kehilangan bola dengan terlalu mudah.
“Namun, sudah tentu sebagai jurulatih, saya sekali lagi sangat gembira dengan cara kami bermain, mengekalkan penguasaan bola dan menjaringkan gol,” katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata pertama dalam Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026 yang turut dihuni Indonesia dan Singapura.
Skuad Harimau Malaya seterusnya bakal berdepan Indonesia pada 28 September sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Singapura pada 1 Oktober.