Perlawanan penentuan tempat ketiga King’s Cup 2024 menyaksikan Filipina membelasah Tajikistan di Songkhla pada Isnin.
Kedua-dua pasukan terlepas peluang untuk beraksi di final King’s Cup setelah tumbang di tangan Syria dan tuan rumah, Thailand dalam aksi separuh akhir pada Jumaat yang lalu.
Kesebelasan utama Tajikistan diketuai oleh pemain tengah, Parvizdzhon Umarboev manakala pengendali Filipina, Albert Capellas pula menurunkan Kevin Mendoza sebagai penjaga gol.
Permainan berlangsung seimbang dengan Filipina banyak mengatur gerak dari sebelah kanan oleh Paul Tabinas yang melakukan larian dan hantaran yang menguji Tajikistan.
Pemain sayap Filipina, Gerrit Holtmann hampir meletakkan The Azkals di hadapan menerusi sepakan percuma leret di minit ke-20 namun ditangkap kemas oleh Rustam Yatimov.
Tidak lama kemudian, giliran Manuel Ott menguji pintu gol Tajikistan dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti dan Yatimov sekali lagi muncul wira menafikan percubaan itu.
Separuh masa pertama tamat, Tajikistan 0-0 Filipina.
Dua minit bersambung babak kedua, Filipina membuka tirai jaringan menerusi percubaan jarak jauh Gerrit Holtmann yang gagal ditepis kemas oleh Ruslam Yatimov untuk gol pertama aksi.
Tajikistan cuba bangkit namun tandukan Shahrom Samiev sedikit tersasar dari pintu gol sebelum rembatan Nuriddin Khamrokulov berjaya diselamatkan Mendoza pada minit ke-53.
Bek Buriram United, Jefferson Tabinas meletakkan Filipina selesa mendahului dengan gol kedua pada minit ke-58 hasil tandukan deras berpunca dari sepakan sudut Sandro Reyes.
Empat minit berselang, Zico Bailey menambah derita skuad bimbingan Gela Shekiladze dengan gol ketiga buat Filipina setelah menerima umpanan cantik dari Gerrit Holtmann.
Aksi di Stadium Tinsulanon, Songkhla berakhir dengan keputusan 3-0 memihak Filipina.
Keputusan ini bukan sahaja menghadiahkan Filipina tempat ketiga malah melunaskan dendam The Azkals yang tewas di tangan Tajikistan pada Pestabola Merdeka yang lalu.