Ketua Jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe tidak risau walaupun pasukan bimbingannya akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 3 Jun ini tanpa kelibat pemain berpengaruh, Brendan Gan.
Beliau berkata, pasukan negara memiliki banyak pilihan pemain yang berkualiti seperti Liridon Krasniqi, Nor Azam Azih dan Nazmi Faiz Mansor.
Mereka ini akan mengisi kekosongan di bahagian tengah yang ditinggalkan Brendan Gan.
“Memang dengan UAE dia (Brendan Gan) tak dapat bermain, kita kena cari pengganti nanti,” jelas Cheng Hoe pada sidang media yang dilangsungkan secara maya, semalam.
“Kita ada mencuba beberapa pemain pilihan untuk mengganti Brendan. Kita nampak macam Nazmi, Danial Amier Norhisham selain beberapa pilihan lain seperti Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih.”
“Selain itu kita juga mengharapkan Liridon nanti dapat dipanggil. Kita harap dapat mengatasi masalah di posisi pemain tengah ini.”
Brendan Gan sebelum ini dilayangkan kad kuning kedua selepas dua perlawanan semasa menentang UAE di Kuala Lumpur sekaligus digantung satu perlawanan (mentang UAE di tempat lawan).
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kini sedang berlatih bersama di Pusat Latihan kelab Johor Darul Ta’zim, Johor Bahru.