Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menganggap bahawa agenda di sebalik serangan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim masih menjadi tanda tanya.
DYAM Tunku Ismail menzahirkan pandangannya pada sesi audio siar secara langsung bersempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity di sini pada Ahad, 9 Jun 2024.
DYAM Tunku Ismail berkongsikan sisi pemain sayap Selangor itu sebagai seorang individu yang amat baik.
“Pertama sekali, Faisal Halim ini merupakan budak yang baik tapi saya tidak tahu hidup peribadi dia. Apa yang berlaku terhadapnya merupakan satu tindakan yang wajar kita tentang.
“Akan tetapi, ada apa kena mengena dengan saya? Ada pihak yang cakap Tunku Mahkota Ismail adalah dalang (mastermind).
“Kalau saya nak habiskan orang, saya ada sasaran yang lebih besar dalam negara yang mengambil duit rakyat, orang yang bertanggungjawab rompak hasil duit rakyat, orang ini lebih penjenayah bagi saya, bukan pemain bola sepak,” jelas DYAM Tunku Ismail.
Baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap tuduhan yang dilemparkan mengenai dirinya yang dikaitkan menjadi dalang di sebalik serangan tersebut.
“Faisal Halim ini cuma pemain bola sepak, tak kan orang Selangor tak boleh fikir dengan cara rasional, saya nak habiskan dia buat apa.
“Kami JDT lawan dengan Selangor tahun lepas, 4-0, 4-0 dan 2-0. Faisal Halim main pada perlawanan itu. Jadi, Faisal Halim bukan ancaman untuk saya” titahnya.
Agenda mengenai insiden serangan ini kekal menjadi perkara misteri bagi DYAM Tunku Ismail.
“Dia pemain yang bagus, bermain untuk pasukan kebangsaan tetapi kita tidak tahu kehidupan peribadinya dan agenda di sebalik serangan ini.
“Sekarang ini semua nak salahkan TMJ, saya dapat berita bahawa bas Selangor kena serang di Indonesia, itu pun salah saya ke?”
Baginda juga melabel tindakan simbahan asid ini dilakukan oleh individu yang tidak berani namun berharap agar tindakan ini ditentang oleh semua pihak.