Menjelang aksi terakhir Liga Super menentang Sri Pahang FC malam ini, KL City FC pincang tanpa beberapa awang import.
The City Boys terpaksa melupakan khidmat Giancarlo Gallifuoco yang terpaksa berehat akibat kecederaan. Sementara Tchetche Kipre dan Romel Morales pula meninggalkan pasukan.
Keadaan ini menyaksikan KL City hanya boleh memanfaatkan tiga awang import yang masih ada iaitu Matko Zirdum, Sebastian Avanzini dan Patrick Reichelt.
Jurulatih The City Boys, Nenad Bacina mengakui situasi ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan mereka bila berdepan skuad Tok Gajah pada malam ini.
Bagaimanapun, beliau melihat itu bukan alasan buat mereka untuk meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Cukup atau tidak, itu satu fakta. Ini sesuatu yang saya perlu tangani untuk perlawanan seterusnya (hari ini). Macam saya kata, Sri Pahang satu pasukan yang kuat. Tapi kita takkan menyerah kalah sehingga wisel penamat,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi untuk Nadi Bola.
KL City bakal berdepan Sri Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini pada jam 9.00 malam.