Tonggak pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco terpaksa melupakan hasrat bagi membantu pasukannya di Liga Super 2023 apabila disahkan mengalami kecederaan yang agak serius.
Pemain kelahiran Australia itu merupakan tunjang utama di bahagian pertahanan The City Boys sejak beberapa musim kebelakangan ini terpaksa menghabiskan saingan musim ini lebih awal susulan kecederaan.
Perkara ini dikongsikan menerusi hantaran di Instagram miliknya yang kelihatan sedikit kecewa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada baki saingan musim ini.
“Agak malang kerana saya mengalami 3 patah tulang pada bahagian pipi saya. Musim 2023 saya juga telah berakhir dan terima kasih untuk satu tahun yang diberkati dan dapat menghidupkan impian saya dengan ikatan persahabatan yang lebih seperti keluarga daripada rakan sepasukan.”
“Saya sangat berterima kasih kepada penyokong setia tidak kira sama ada lelaki atau wanita atas rasa kasih sayang dan sokongan berterusan mereka kepada kami. Para pemain amat menghargainya,” ujarnya pada hantaran tersebut.
Tonggak berusia 29 tahun itu juga mengucapkan terima kasih untuk tahun 2023 dan akan berjumpa lagi pada aksi Liga Malaysia 2024 untuk terus membanggakan para peminat pasukan.
Berita kecederaan ini sudah pasti merencatkan perancangan pasukan KL City FC khususnya di bahagian pertahanan memandangkan pemain kelahiran Australia itu telah diturunkan sebanyak 21 kali pada musim ini.
KL City FC bakal meneruskan saingan Liga Super 2023 dengan melayani kunjungan Kelantan United FC pada 26 November 2023 di Cheras.