Barisan pemain KL City FC dapat menghela nafas lega apabila pasukan itu mula melunaskan tunggakan gaji mereka.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar menerusi satu kenyataan media.
Ini sekaligus memenuhi janjinya untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO selepas dipilih sebagai presiden baru KLFA.
Sebagai permulaan, Syed Yazid memaklumkan barisan pemain The City Boys telah menerima gaji sebulan bersama dengan sebahagian daripada caruman KWSP dan PERKESO.
Beliau turut memaklumkan KLFA bakal menerima dana sebanyak RM1 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Dana tersebut akan digunakan untuk menyelesaikan sebahagian lagi tunggakan.
“Untuk permulaan, kita sudahpun mula membayar satu bulan gaji kepada pemain-pemain Kuala Lumpur City FC berserta dengan sebahagian caruman KWSP dan PERKESO.
“Di samping itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyalurkan dana sebanyak RM1 Juta di penghujung Oktober nanti.
“Dengan dana ini, semestinya kita akan dapat menyelesaikan sebahagian lagi tunggakan tersebut,” katanya hari ini.
Meskipun begitu, Syed Yazid memaklumkan dana tersebut tidak cukup untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan yang ada. Atas sebab itu, beliau dan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif KLFA akan mencari penyelesaian terbaik untuk isu berkenaan.
Terdahulu, mantan Presiden KLFA, Khalid Samad mendedahkan sebuah entiti komersial berminat menjadi pemegang saham majoriti KL City. Malah, entiti tersebut dilaporkan sudah membayar deposit berjumlah RM1.5 juta kepada KLFA untuk mendapatkan saham sebanyak 51% itu.
Berita ini dijangka menyuntik semangat anak buah Miroslav Kuljanac apabila saingan Liga Super kembali bersambung pada 18 Oktober ini.
Tarikh tersebut menyaksikan KL City bakal berhadapan dengan pasukan Pantai Timur, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.