Advertisements
Satu Entiti Dilaporkan Bayar RM1.5 Juta, Beli 51% Saham KL City
Liga Super
MakanBola
KL City FC

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mendedahkan sebuah entiti dilaporkan bersetuju menjadi pemegang saham majoriti KL City FC.

Hal ini dinyatakan beliau dalam satu kenyataan media menjelang Kongres KLFA yang bakal diadakan pada 12 Oktober ini.

Sebelum ini, KL City berdepan masalah kewangan yang serius termasuk isu tunggakan gaji dan silap mengisytiharkan dokumen.

Situasi itu menyebabkan pengurusan The City Boys dikenakan hukuman oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Ogos lalu. Selain dikenakan potongan enam mata dan denda sebanyak RM100,000, kelab itu turut dikenakan sekatan perpindahan pemain sehingga akhir musim.

KL City juga dilarang daripada memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selama dua kitaran pelesenan (musim 2024/25 dan 2025/26).

Selepas menilai semua calon yang bakal bertanding dalam Kongres KLFA, mantan Menteri Wilayah Persekutuan itu menyatakan sokongan kepada Pemangku Presiden KLFA, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid.

Keputusan itu dibuat Khalid kerana entiti yang berminat menjadi pemegang saham majoriti KL City sudah menyalurkan bayaran pendahuluan RM1.5 juta kepada KLFA. Ini menunjukkan mereka serius untuk memiliki pegangan saham kelab sebanyak 51%.

Entiti tersebut berbuat demikian selepas mendengar wawasan KLFA yang dibentangkan Abdullah Sani dan pasukannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Hasil hubungan perniagaan baik dengan berbagai pihak dan keyakinan peniaga terhadap kumpulan yang dipimpin Dato’ Abdullah Sani, saya dimaklumkan ada pihak telah membayar RM 1.5 Juta sebagai pendahuluan untuk membeli 51% saham syarikat pemilik KL City FC.

“Bayaran ini baharu sahaja diterima oleh KLFA beberapa jam sebelum ini. Ini berlaku setelah mereka mendengar wawasan kepimpinan Dato’ Abdullah Sani dan pasukannya pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Munculnya sahaja Dato’ Abdullah Sani sebagai Presiden, beberapa pelabur dan penaja akan turut bersama,” katanya hari ini.

Atas sebab itu, Khalid berharap para ahli gabungan KLFA dapat memberi sokongan padu kepada pasukan Abdullah Sani untuk Kongres KLFA kali ini.

Ini kerana bekas Ahli Parlimen Kapar itu memiliki hubungan baik dengan semua figura penting termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hubungan baik ini cukup diperlukan jika ingin memastikan KLFA memiliki kedudukan kewangan yang kukuh.

“Ini akan hanya berlaku dengan adanya hubungan yang rapat antara Presiden KLFA dan Menteri Wilayah serta Datuk Bandar yang baharu.

“Dan lebih penting lagi hubungan dengan Perdana Menteri sendiri. Dalam soal ini kedudukan Dato Abdullah Sani jauh lebih mantap berbanding pihak satu lagi,” ujarnya.

Selepas meraih kemenangan 4-2 ke atas Penang FC pada 29 September lalu, KL City kini menduduki tangga kelapan liga dengan 11 mata.