Pemilik KL City FC, Rinani Group menyambut baik cadangan menjadikan stadium mereka, Stadium Cheras sebagai venue neutral Palestin.
Cadangan ini telah dibawa kerajaan Malaysia kepada Kedutaan Palestin semalam dan disahkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Hamid.
Ini bagi membantu Palestin mencari venue pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan I menentang Australia pada 16 November ini.
Ini susulan cadangan Algeria sebagai tuan rumah venue neutral Palestin ditolak oleh AFC semalam. Justeru, mereka diberi tempoh sehingga 25 Oktober ini untuk mencari venue neutral yang baru.
Pengarah Rinani Group, Azri Azerai bangga kerana stadium keramat mereka itu mampu jadi tuan rumah untuk perlawanan bertaraf antarabangsa.
“Walaupun KL City tidak menjadi tuan rumah secara langsung untuk perlawanan (menentang Australia) tersebut, kami bangga Malaysia, gelanggang sendiri kami menawarkan diri sebagai tuan rumah perlawanan antarabangsa ini.
“Prestasi hebat kami dalam Piala AFC yang lalu dan kerjasama berterusan kami dengan AFC merupakan bukti lanskap bola sepak Malaysia yang semakin bagus.
“Disebabkan penglibatan aktif dalam AFC, kami memahami kerumitan dan kepentingan venue untuk perlawanan antarabangsa.
“Kami tidak sabar menyaksikan satu perlawanan yang hebat yang bukan saja mengujakan peminat bola sepak tetapi membantu memperkukuh hubungan diplomatik dan kebudayaan kedua-dua negara,” katanya menerusi satu ciapan di X.
Ini bukan kali pertama Malaysia menggalas peranan sebagai venue neutral untuk pusingan kelayakan Piala Dunia.
Malaysia pernah menjadi venue neutral Syria untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 untuk perlawanan menentang Australia. Perlawanan titu diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka sekitar Oktober 2017.