Semua sedia maklum, Azri Azerai menerusi syarikatnya, Rinani Group sudah menandatangani pemeteraian perjanjian pengambilalihan KL City. Tetapi menurut Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), proses pengambilalihan sebenarnya belum disahkan secara rasmi.
Menurut Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar, proses pengambilalihan kelab yang diberi jolokan City Boys itu perlu melalui beberapa proses. Ini termasuklah mendapat kelulusan Ahli Jawatankuasa KLFA terlebih dahulu.
“KLFA ingin menyatakan bahawa status Rinani Group Berhad sebagai pemilik sah KL City masih belum berkuatkuasa.
“Untuk makluman, proses pertukaran status hak milik sedang giat dijalankan di antara pihak KLFA dan Rinani kerana masih terdapat beberapa perkara yang masih belum dipersetujui.
“Selain daripada itu, tawaran yang diterima daripada mana-mana pihak ketiga wajib dibawa ke Mesyuarat KLFA terlebih dahulu untuk dibangkitkan dan seterusnya diperhalusi sebelum melaksanakan proses pertukaran hak milik kelab berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Arena Metro.
Pada Sabtu lepas, Rinani Group telah menandatangani dokumen perjanjian pengambilalihan saham KL City sebanyak 51%. Ini menjadikan Azri sebagai pemilik saham terbesar skuad City Boys itu dengan baki 49% lagi dipegang oleh KLFA.