Bekas pemain kebangsaan, R. Kogileswaran berharap dua pemain muda yang menyertai kem Harimau Malaya dapat memanfaatkan pengalaman bersama barisan pemain senior di situ.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente membuat kejutan dengan menyenaraikan dua tonggak skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Haykal Danish Mohd Haizon dan Haziq Aiman Mohd Esa.
Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada 26 pemain yang dipanggil untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang New Zealand.
Kogileswaran yang memiliki lapan penampilan antarabangsa bersama Harimau Malaya melihat Haziq dan Haykal memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin.
Ini kerana mereka bukan saja dapat menimba pengalaman bersama pemain senior. Malah, ini akan membantu meningkatkan kualiti mereka sebagai pemain profesional.
“Saya rasa ini pengalaman yang mereka kena ambil seperti dalam latihan dan persekitaran yang mengelilingi skuad kebangsaan. Sebab di skuad kebangsaan, ia cukup berbeza dan agak profesional.
“Jadi, pemain muda kena ambil contoh daripada pemain senior dan belajar bola sepak dengan lebih teliti di skuad kebangsaan.
“Jadi, saya rasa jika mereka buat macam itu, mereka akan terus berjuang (merebut tempat dalam pasukan),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Malaysia bakal berdepan All Whites di Auckland pada 14 Oktober ini. Dan sebagai persiapan menghadapi pasukan itu, Harimau Malaya bakal menentang sebuah kelab utama New Zealand pada 11 Oktober ini.