Kelab Besar New Zealand Jadi Lawan Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Harimau Malaya bakal diuji sebuah kelab utama dari New Zealand di Auckland pada 11 Oktober ini.

Perkara ini dikongsikan pengendali skuad senior kebangsaan, Pau Marti Vicente baru-baru ini. Ia sebahagian daripada persiapan menentang New Zealand yang berlangsung pada 14 Oktober.

“Pasukan kebangsaan akan menentang sebuah pasukan kelab utama untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 2 pada 11 Oktober sebagai persiapan yang berkualiti menjelang perlawanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan lawan ini dibuat selepas usaha skuad negara mengatur aksi persahabatan dengan lapan negara Oceania lain tidak membuahkan hasil.

Walau bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, identiti kelab utama New Zealand yang bakal menentang Harimau Malaya masih tidak didedahkan.

Dua kelab berpotensi menjadi lawan Harimau Malaya pada 11 Oktober. Dua kelab tersebut ialah Auckland FC dan pasukan gergasi New Zealand, Auckland City.

Auckland FC merupakan pendatang baru saingan A-League musim 2024/25. Ini sekaligus menjadikan mereka pasukan New Zealand kedua dalam liga itu selepas Wellington Phoenix.

Pasukan baru ini mendapat sokongan pemilik Bournemouth, Bill Foley. Selain memiliki kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Foley juga memiliki pegangan saham minoriti dalam Lorient dan Hibernian.

Sementara Auckland City pula hadir dengan reputasi sebagai kelab paling berjaya di New Zealand. Selain bergelar juara liga sebanyak sembilan kali, pasukan itu turut muncul juara Liga Juara-Juara OFC (OCL) sebanyak 12 kali.

Pasukan yang diberi jolokan The Navy Blues itu dibimbing bekas pemain tengah Sepanyol, Albert Riera. Riera bukan asing dengan Auckland City kerana pernah beraksi untuk pasukan itu pada 2011-2013 dan 2016-2021.