Penyerang Kelana United, Intan Serah tampil memberikan komen setelah pamer aksi garang dengan meledak enam gol ketika berdepan Real CJ dalam aksi minggu ke-2 Liga Wanita Nasional (LWN) 2024.
Kelana United bertandang ke Pulau Pinang bagi menguji kekuatan Real CJ selepas melakar kemenangan pertama ke atas Selangor 1-0 dalam aksi pembukaan LWN minggu lalu di Cheras.
Dalam aksi tersebut, Kelana United yang dibimbing oleh Fairuz Montana mendahului selesa 2-0 di babak pertama hasil dua jaringan daripada Intan Serah seawal minit kelima dan minit ke-36.
Di separuh masa kedua, pemain berusia 25 tahun itu terus mencetak nama selaku penjaring dengan tambahan 4 lagi gol pada minit ke-55, 61, 78 dan 90 permainan sementara Lovelytha Jelus melengkapkan kemenangan besar Kelana United.
Menurut Intan Serah, beliau meluahkan rasa syukur di atas kejayaan melakar enam jaringan untuk membantu pasukan meraih kemenangan kedua dalam kempen LWN 2024.
”Alhamdulillah hatrik berganda,” tulis Intan di laman X miliknya.
Kemenangan ini meletakkan Kelana United di kedudukan teratas carta liga LWN dengan enam mata manakala Real CJ pula berada di tempat tercorot tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.
Dua lagi aksi LWN akan berlangsung pada petang Ahad melibatkan pertemuan Malaysian University berdepan SSMP sementara Melaka akan melayani kunjungan juara bertahan, Sabah di laman sendiri.