Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali berharap Wan Kuzain Wan Kamal dapat menambah kekuatan pasukan itu.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan skuad Malaysia bakal diperkuatkan dengan dua orang pemain warisan.
Dua pemain tersebut ialah Wan Kuzain dan bek kanan Go Ahead Eagles, Mats Deijl. Perkara ini dinyatakan beliau dalam sidang media pada 29 Ogos lalu.
Walau bagaimanapun, Wan Kuzain terpaksa melupakan panggilan menyertai skuad negara untuk kempen Pestabola Merdeka 2024 kerana fokus untuk pulih daripada kecederaan.
Safee berharap kehadiran mereka terutama Wan Kuzain mampu memberi nilai tambah kepada skuad kebangsaan. Ini disebabkan pengalaman pemain berusia 25 tahun itu beraksi di Amerika Syarikat.
“Saya harapkan kalau dia (Wan Kuzain) bermain untuk pasukan Malaysia, dia jauh lebih baik daripada pemain di sini.
“Walaupun dia bermain di divisyen empat (atau) lima di sana, dia kena lebih matang dengan corak permainan pasukan kita dan mampu menghasilkan sesuatu buat skuad negara,” katanya kepada Nadi Arena pada 30 Ogos lalu.
Wan Kuzain beraksi untuk pasukan MLS Next Pro, St. Louis City 2. Pasukan itu ketika ini menduduki tempat kedua carta Western Conference selepas mengharungi 23 perlawanan.
Skuad negara bakal membuka kempen Pestabola Merdeka 2024 dengan menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September ini.