Malaysia berpotensi berdepan sama ada Jepun atau Korea Selatan dalam pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2025.
ASEAN Football hari ini menyiarkan senarai kumpulan undian negara yang terlibat dalam pusingan kelayakan kejohanan.
Jepun dan Korea Selatan dalam Pot 1 bersama Uzbekistan, Iraq, Australia, Iran, Jordan dan tiga tuan rumah pusingan kelayakan iaitu Indonesia, Vietnam dan Tajikistan.
Selain tiga negara itu, Arab Saudi, Kyrgyzstan, Chinese Taipei, Qatar, Thailand, Kuwait dan Laos turut dipilih Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai tuan rumah pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Arab Saudi, Kyrgyzstan, Chinese Taipei, Qatar dan Thailand berada dalam Pot 2. Manakala Kuwait dan Laos pula dalam Pot 4.
Malaysia berharap tidak berada dalam kumpulan kelayakan sama dengan Korea Selatan. Ini kerana kedua-dua negara berada dalam kumpulan sama untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2023 pada 2022.
Malaysia menamatkan kempen kumpulan di tangga ketiga dengan empat mata. Pasukan itu mengutip satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Pasukan yang dibimbing Juan Torres Garrido itu bakal mengetahui kumpulan kelayakan mereka pada 13 Jun ini. Pada hari itu, cabutan undi kumpulan kelayakan Piala Asia B-20 2025 diadakan di Kuala Lumpur.