Piala Dunia
Statman Dave
Advertisements

Portugal mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 sebagai juara Kumpulan H walaupun tewas mengejut 2-1 kepada Korea Selatan dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Bandar Pendidikan. Kemenangan mengejut ini membolehkan Pahlawan Taeguk mengiringi A Selecao ke pusingan kalah mati.

Ricardo Horta Portugal Korea Selatan Piala Dunia 2022 FIFA World Cup Korea Selatan Diamkan Portugal, Mara Ke Pusingan Kalah Mati
Ricardo Horta meraikan jaringan pertama Portugal pada minit kelima. Gambar: FIFA World Cup

A Selecao mendahului Pahlawan Taeguk seawal minit kelima menerusi penyerang Sporting Braga, Ricardo Horta. Ia terhasil menerusi satu gerakan cantik yang dibuat oleh bek kanan Manchester United, Diogo Dalot. Selepas berjaya mengatasi cabaran Kim Jin-su, Dalot melorongkan bola kepada Horta yang mudah menewaskan Kim Seung-gyu.

Tiga minit selepas itu, Jin-su cuba menebus kesilapannya dengan membuat satu hantaran kurang kemas kepada kapten dan penyerang Tottenham, Son Heung-min. Bagaimanapun, cubaannya langsung tidak mencemaskan Diogo Costa kerana ia tersasar ke tepi gawang.

Advertisements

Pada minit ke-17, Pahlawan Taeguk berjaya juga menembusi gawang A Selecao menerusi Jin-su selepas menanduk sepakan sudut yang diambil Heung-min. Bagaimanapun, gol tersebut kemudiannya dibatalkan atas alasan pemain Korea berada pada kedudukan ofsaid semasa bek kiri Jeonbuk itu menanduk bola.

Kim Young-gwon meraikan jaringan penyamaan Korea Selatan. Gambar @LigRadyo

Kelemahan Portugal dalam mendepani situasi bola mati kembali menghantui mereka. Dan itu dimanfaatkan Korea Selatan menerusi gol penyamaan Kim Young-gwon pada minit ke-27. Bola sepakan sudut Heung-min terkena belakang Ronaldo sebelum ditolak masuk bek tengah Ulsan Hyundai itu ke dalam jaring Portugal.

Tersentak, Ronaldo cuba menjaringkan gol kedua untuk A Selecao pada minit ke-30 tetapi berjaya ditepis Seung-gyu. Beberapa minit selepas itu, Dalot mencuba nasib menerusi percubaan jarak jauh dari garisan bulatan dengan harapan dapat menghantar bola masuk ke gawang Pahlawan Taeguk. Bagaimanapun, penjaga gol Al-Shabab itu tidak terpedaya dengan helah bekas bek kanan Porto itu dengan menolak bola keluar.

Advertisements

Portugal hampir berpeluang menjaringkan gol kedua menerusi Horta pada minit ke-44 selepas menerima hantaran Vitinha. Tetapi malangnya, percubaan penyerang Braga itu tepat mengenai Seung-gyu sebelum berjaya ditangkap kemas penjaga gol Korea Selatan itu. Kedudukan 1-1 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Portugal terus mendominasi bola bagi mencari gol kedua. Ronaldo terus kempunan memburu gol kedua peribadi dalam Piala Dunia apabila kedudukannya pada minit ke-52 semasa menguji Seung-gyu didapati dalam kedudukan ofsaid. Sementara usaha Heung-min melorongkan bola kepada Cho Gue-sung pada minit ke-55 dihalang oleh Pepe dan Antonio Silva.

Seminit selepas itu, sepakan sudut penyerang Spurs itu berjaya dikeluarkan tetapi hanya sampai kepada pemain tengah Real Mallorca, Lee Kang-in. Kang-in melepaskan rembatan voli ke arah gawang yang dikawal Diogo Costa tetapi percubaannya tersasar.

Advertisements

Pada minit ke-66, Gue-sung sekali mencemaskan pertahanan A Selecao selepas menerima umpanan Heung-min. Bagaimanapun, sepakannya dari luar kotak penalti itu terkena pemain Portugal sebelum mudah diselamatkan Costa. Seminit selepas itu, giliran Hwang In-beom pula menguji Costa dengan sepakan jarak jauh yang kuat tetapi berjaya ditepis penjaga gol Porto itu sebelum dikeluarkan oleh pertahanan Portugal.

Empat minit selepas itu, Pahlawan Taeguk mendakwa bola sepakan Heung-min mengenai tangan Silva dalam kotak penalti. Tetapi pengadil tidak mengendahkan rayuan mereka kerana bola didapati terkena dada bek tengah remaja Benfica itu. Tujuh minit kemudian, Joao Mario hampir menjaringkan gol kemenangan tetapi Young-gwon berjaya memintas bola hantaran Dalot sebelum mengeluarkannya daripada pertahanan Korea Selatan.

Pahlawan Taeguk terus mengasak Portugal tetapi benteng pertahanan yang diterajui Pepe kental menyerap asakan mereka. Tetapi benteng A Selecao roboh juga apabila Korea Selatan menembusi gawang Costa menerusi Hwang Hee-chan pada minit ke-90 selepas menerima hantaran Heung-min.

Advertisements

Dengan kemenangan ini, Ghana dan Uruguay mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia. Kini, halangan yang menanti Korea Selatan dan Portugal di peringkat kalah mati ialah juara dan naib juara Kumpulan G untuk mara ke suku akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram