Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Perlawanan Kumpulan H Piala Dunia 2022 membabitkan Korea Selatan dan Portugal bukan sekadar menentukan siapa layak ke pusingan kalah mati. Tetapi ini turut memberi peluang kepada Pahlawan Taeguk untuk membalas dendam ke atas Cristiano Ronaldo atas apa yang dilakukan kepada negara mereka beberapa tahun lepas.

Bagi Portugal, mereka perlu menang atau seri jika mahu bergelar juara kumpulan. Sementara bagi Korea Selatan yang dibimbing Paulo Bento, kemenangan satu-satunya objektif jika mahu layak ke pusingan kalah mati dan seterusnya, peluang mengulangi pencapaian anak-anak buah Guus Hiddink pada Piala Dunia 2002.

Tetapi dalam sidang media pra-perlawanan Portugal-Korea Selatan yang berlangsung semalam, jurulatih A Selecao Fernando Santos sedar kemarahan warga Korea terhadap legenda Real Madrid itu masih belum reda. Semuanya disebabkan janji yang dibuat dalam jelajah Asia membabitkan kelab Ronaldo ketika itu, Juventus beberapa tahun lepas.

Advertisements

Pada pra-musim 2019/2020, La Vecchia Signora mengadakan jelajah tiga perlawanan persahabatan di Asia iaitu Tottenham Hotspur di Singapura, Inter Milan (China) dan Pilihan Liga Korea (Seoul, Korea Selatan). Ronaldo diturunkan dalam dua perlawanan awal tetapi kelibatnya tidak diturunkan untuk perlawanan di Seoul.

Cristiano Ronaldo Juventus Football Everyday Korea Selatan Mahu Balas Dendam Kepada Cristiano Ronaldo
Cristiano Ronaldo langsung tidak diturunkan semasa perlawanan persahabatan Juventus-Pilihan Liga Korea pada pra-musim 2019/2020. Gambar: Football Everyday

Akibatnya, ramai peminat Korea merasa tertipu dengan situasi ketika itu dan melancarkan boikot terhadap semua produk yang diwakili bekas penyerang Manchester United itu. Malah, satu saman turut dikemukakan 162 orang penyokong terhadap promoter perlawanan kerana gagal memenuhi janji tentang penampilan Ronaldo di Seoul.

Reaksi Liga Korea pula lagi dahsyat disebabkan mereka menurunkan pemain-pemain bintang liga sebagai wakil menentang Juventus ketika itu. Dalam satu kenyataan, pihak liga berkata, “Liga Korea tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa atas apa yang berlaku dan merasa tertipu dengan sikap tak tahu malu Juventus. Ronaldo tak bermain satu minit pun, sama sekali bertentangan dengan jaminan kontrak yang menyatakan beliau akan bermain sekurang-kurangnya 45 minit.

Advertisements

“Jika Ronaldo tak dapat bermain pun, ia jelas sekali merupakan satu penipuan untuk memasukkannya sebagai pemain simpanan. Liga Korea menyatakan rasa marah dan kecewa atas tindakan dan tingkah laku Juventus yang tidak bertanggungjawab, dan kami menggesa Juventus agar membuat permohonan maaf dengan ikhlas dan menjelaskan mengapa Ronaldo tidak diturunkan.” Sehingga hari ini, La Vecchia Signora tidak memohon maaf atas apa yang berlaku di Seoul.

Apabila Santos ditanya tentang kisah ini oleh seorang wartawan Korea Selatan, jawapannya mudah, “Yang itu, anda perlu tanya Juventus dan Ronaldo. Beliau pergi ke sana bersama Juventus dan itu bakal jejaskan perlawanan kami esok (hari ini)? Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Korea dan saya percaya Ronaldo juga mempunyai perasaan yang sama.”

Ironinya, Ronaldo berkemungkinan tidak diturunkan untuk perlawanan malam ini oleh Santos. Ia bukan saja bertujuan mengurangkan beban waktu permainannya tetapi bagi membolehkan legenda Portugal itu cergas untuk perlawanan pusingan kalah mati. Yang pasti, sama ada Ronaldo turun atau tidak, Korea Selatan mempunyai sebab kuat untuk memastikan A Selecao merasai nasib sama yang dialami Belgium, Denmark dan Jerman: disingkirkan dari Piala Dunia!

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram