Korea Selatan Minta Maaf, Gagal Ke Olimpik Kerana Indonesia
Asia
AFC
Advertisements

Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) membuat permohonan maaf ekoran kegagalan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Pahlawan Taeguk gagal layak selepas tunduk kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat suku akhir Piala Asia B-23 2024.

Kekalahan ini turut menyaksikan Korea Selatan gagal layak buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu.

Advertisements

Sebelum ini, skuad Korea Selatan B-23 berjaya layak sembilan kali berturut-turut ke temasya berprestij itu.

Pencapaian ini bermula di temasya Sukan Olimpik edisi 1992 di Barcelona, Sepanyol hingga yang terakhir, edisi 2020 di Tokyo, Jepun.

Advertisements

Atas sebab itu, KFA memohon maaf kerana tidak dapat merealisasikan impian layak ke Sukan Olimpik buat kali ke-10.

KFA turut memaklumkan akan membuat semakan dan penambahbaikan ke atas skuad kebangsaan terutama skuad Korea Selatan B-23 bagi memastikan kegagalan ini tidak berulang.

Advertisements

“Kami memohon maaf kepada semua peminat bola sepak, pemain dan negara (Korea Selatan) kerana gagal mara ke pertandingan utama Sukan Olimpik Paris susulan kekalahan hari ini di suku akhir Piala Asia B-23 AFC 2024.

“Walaupun staf kejurulatihan dan pemain telah memberikan yang terbaik dalam mengejar penampilan Olimpik ke-10 berturut-turut kami, malangnya kami gagal mencapai matlamat kami.

Advertisements

“Kami di KFA sedar bahawa tanggungjawab keseluruhan untukmemupuk dan menyokong pasukan bola sepak kebangsaan berada pada bahu kami dan kami menundukkan kepala sekali lagi untuk menyatakan permohonan maaf yang tulus.

“Kami akan mengkaji dengan teliti dan menambah baik perkembangan pemain dan jurulatih serta sistem operasi pasukan kebangsaan bagi memastikan kegagalan seperti hari ini tidak berulang lagi,” kata KFA dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi badan induk itu.

KFA kini mengalihkan fokus untuk melantik jurulatih baru skuad senior Korea Selatan menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung pada Jun ini.

Jawatan tersebut kosong selepas KFA memecat legenda Jerman, Jurgen Klinsmann pada Februari lalu. Klinsmann dipecat selepas gagal membawa Korea Selatan ke final Piala Asia 2023.

Antara jurulatih yang dikaitkan dengan kerusi panas berkenaan ialah Herve Renard, Senol Gunes, Steve Bruce dan Fabio Cannavaro.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram