Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) meminta agar ketua jurulatih pasukan, Jürgen Klinsmann agar pulang bersama pasukan dengan kadar segera.
Pengendali kelahiran Jerman itu akhirnya mengecapi kemenangan pertama bersama pasukan baharunya itu apabila menewskan Arab Saudi dengan keputusan 1-0.
Beliau bagaimanapun kembali terpalit kontroversi apabila difahamkan tidak pulang bersama pasukan ke Korea Selatan.
Menerusi beberapa laporan dari media Korea, Klinsmann tidak merancang pulang kerana mahu ke Jerman bagi menyaksikan aksi Bayern Munich.
Jurulatih berusia 59 tahun itu bagaimanapun diminta untuk mengadakan sesi sidang media berkenaan dua aksi persahabatan terakhir Korea Selatan.
Korea Selatan baru mencatat kemenangan pertama di bawah kendaliannya setelah mengharungi 6 perlawanan setakat ini.
Beliau juga dilihat menghadapi situasi tegang bersama penyokong dan pengurusan selepas menerima kecaman hebat dari segenap penjuru.
Klinsmann berkata, “Tinggal di Korea sahaja adalah tidak cekap. Apabila tiada apa yang boleh dilakukan di Seoul, adalah lebih baik untuk bertemu orang di Eropah.”
“Apa yang boleh saya katakan, saya 100% fokus pada Piala Asia. Saya juga ingin menekankan bahawa untuk berjaya, saya mesti pilih apa yang saya fikir adalah cara terbaik untuk bekerja.”
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dengan aksi berdepan pasukan terbaik Asia itu bakal berlangsung pada 25 Januari 2023.