Korea Selatan menolak peluang mendapatkan bekas pembantu Jurgen Klopp di Borussia Dortmund, David Wagner sebagai jurulatih pasukan itu.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan sukan Korea Selatan, Steve Han selepas mengikuti sidang media Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA), Lee Lim-saeng baru-baru ini.
Jurulatih berusia 52 tahun itu bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak di England. Ini kerana beliau pernah melatih Huddersfield Town dan Norwich City.
Semasa bersama Huddersfield, beliau membantu pasukan itu layak ke EPL pada akhir musim 2016/17 dan kekal selama dua musim.
Han mendedahkan Wagner sudah menyediakan laporan setebal 50 muka surat tentang cara beliau mengendalikan Pahlawan Taeguk. Malah, bekas jurulatih BSC Young Boys itu sedia menerima tawaran gaji KFA sekiranya dipilih melatih Korea Selatan.
Malangnya, hajat Wagner bergelar jurulatih Pahlawan Taeguk dinafikan Lim-saeng. Beliau dilaporkan berbuat demikian atas alasan perancangan taktikal bekas jurulatih Schalke O4 itu tidak boleh mengatasi taktik bertahan yang selalu digunakan pasukan-pasukan Asia Barat.
“David Wagner menyediakan laporan 50 halaman tentang bagaimana beliau mahu melatih Korea Selatan. Beliau juga bersetuju untuk tinggal di Korea. Beliau menerima (tawaran) gaji (yang dibuat KFA) itu.
“Lee Lim-saeng masih menolaknya kerana beliau bimbang (perancangan taktikal) Wagner akan terdedah terhadap pasukan Asia Barat yang suka bertahan,” katanya di X.
Susulan itu, legenda Korea Selatan dan pengendali Ulsan HD, Hong Myung-bo dipilih sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Jerman, Jurgen Klinsmann.