Penyerang Timor Leste, Joao Pedro bakal membawa cabaran Kuching City FC dalam saingan Liga Super musim 2025/26.
Perkara ini disahkan pengerusi kelab berkenaan, Dato Fazzrudin Abdul Rahman apabila ditanya tentang tonggak import baharu The Cats.
Sebelum ini, Pedro dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Lembah Klang, KL City FC. Malah, pada satu ketika, bekas penyerang UiTM United itu dilaporkan hampir memuktamadkan perpindahan tersebut.
Walau bagaimanapun, Pedro pada akhirnya memilih Kuching City sebagai pasukan barunya selepas meninggalkan Angkor Tiger FC.
Selain beliau, The Cats turut merekrut bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah Wanja dan pemain tengah Filipina, Scott Phillip.
Kesemua pemain yang dipilih termasuk Pedro dibuat atas faktor kewangan dan kesesuaian dengan budaya kekitaan yang wujud dalam pasukan itu.
“Pertama, kita mengambil kira kekangan bajet…kita tidak mahu membebankan kelab dengan perbelanjaan besar dan kedua, kita utamakan kesesuaian pemain dengan budaya dan semangat kekitaan dalam pasukan,” katanya kepada TVS.
Fazzrudin turut mengesahkan Petrus Shitembi kekal bersama Kuching City untuk musim 2025/26.