Persembahan cemerlang penyerang Timor Leste, Joao Pedro ketika menentang Malaysia pada Rabu telah membuka mata peminat bola sepak tempatan seperti penyokong Selangor.
Joao Pedro diberi amanat selaku kapten untuk mengetuai barisan pemain Timor Leste menghadapi Malaysia dalam aksi kedua peringkat kumpulan ASEAN Mitsubishi Electric Cup.
Walaupun Timor Leste tewas dengan keputusan 3-2, namun aksi cemerlang oleh Joao Pedro mengucar-kacirkan benteng pertahanan negara jelas membuatkan ramai peminat kagum.
Pemain sayap kiri ini terlibat dalam kedua-dua jaringan Timor Leste apabila melakukan hantaran yang disudahkan Olagar Xavier selain meledak satu gol menerusi percubaan lencong.
Berdasarkan penilaian oleh laman Sofascore, aksi Joao Pedro menerima markah setinggi 8.1, kedua tertinggi bagi kesemua pemain dalam perlawanan tersebut di belakang Paulo Josue.
Aksi lincah dan larian deras Joao Pedro menjadi buah mulut para penyokong Selangor yang mencadangkan agar The Red Giants mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun ini.
“Calon sesuai untuk Selangor FC bawa masuk,” tulis Mohd Ammar sambil mengirimkan gambar Joao Pedro.
Sesetengah peminat menilai Joao Pedro tidak asing seperti bekas import lincah Selangor dari Indonesia, Elie Aiboy dan setuju cadangan untuk melihat Joao Pedro menyarung jersi Merah Kuning.
”Secara jujurnya saya setuju (cadangan Selangor membawa masuk Joao Pedro). Sangat laju teringat kepada Elie Aiboy,” ujar Afifi Fitri di ruangan komen.
”Ini saya setuju,” ungkap Ahmad Syahmi secara ringkas.
“Jelmaan Elie Aiboy. Selagi pengadil tak tiup wisel, dia tak akan berhenti berlari walaupun dah hampir jatuh tergolek,” luah Zainudin Zakaria setelah melihat aksi Joao Pedro.
Walau bagaimanapun, ada penyokong yang menasihati agar tidak terburu-buru dalam mengambil Joao Pedro kerana gusar dengan risiko hanya cemerlang pada aksi tertentu.
Ketika ini, Joao Pedro beraksi bersama Angkor Tiger FC di Cambodian Premier League (CPL) dan telah mencatatkan 3 jaringan dan empat bantuan gol dalam 12 penampilan musim ini.
Untuk rekod, Joao Pedro ini pernah beraksi di Liga Malaysia bersama UiTM FC pada musim 2020 hingga 2021 dan hanya merekodkan 2 penampilan tanpa sebarang gol dan bantuan jaringan.