Kuching City menarik nafas lega apabila berjaya bangkit mengikat jaguh Pantai Timur, Terengganu meskipun turun tanpa dua tonggak utama dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri itu, Terengganu terlebih dahulu di hadapan menerusi sepakan penalti tonggak kebangsaan, Safawi Rasid sebelum Yuki Tanigawa menyamakan kedudukan ketika berbaki 10 minit.
Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin yang ditemu bual sekepas perlawanan memuji semangat juang anak-anak buahnya yang mempamerkan permainan menghiburkan meskipun sedar lawan memegang status sebagai pasukan pilihan dalam liga.
”Kita tahu Terengganu satu pasukan yang kuat. Kita tahu mereka pasukan kedua dalam carta liga. Tapi para pemain percaya jika mereka menentang pasukan besar sekalipun, mereka masih akan berjuang dan menunjukkan permainan bola yang bagus,” katanya kepada Astro Arena.
“Jika dibandingkan dengan musim lepas, satu perbezaan yang besar. Tapi kita masih perlukan masa untuk lebih maju, kita masih membina sebuah pasukan (yang ampuh).”
Tambahnya lagi, ketiadaan Daniel Amier dan Petrus Shitembi sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan dan beliau yakin sekiranya dua tonggak tengah ini dapat diturunkan semalam aksi akan jadi berbeza
“Kita kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Daniel Amier dan (Petrus) Shitembi. Kalau pemain-pemain ini ada, kita akan tunjukkan permainan yang lebih bagus dan dapat membantu kita,” ujar pengendali kelahiran Singapura ini.
Peminat bola sepak lokal selepas ini akan mengalihkan tumpuan kepada kempen Piala FA yang mana Kuching City bakal melayani kunjungan Selangor di laman sendiri sementara Terengganu bakal menanti cabaran Sabah di Gong Badak