Kuching City FC mempamerkan kebangkitan di penghujung perlawanan untuk mengikat Terengganu FC dalam aksi Liga Super sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Terengganu meletakkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid di bahagian sayap manakala Kuching City menggandingkan Tchetche Kipre dan Jordan Mintah di bahagian serangan.
Perlawanan dimulakan dengan tuan rumah memberikan tekanan awal dengan serangan ke kubu Terengganu.
Peluang awal hadir buat Kuching City apabila pada minit ke-4, Tchetche Kipre membuat percubaan jarak dekat namun percubaannya berjaya diselamatkan Suhaimi Husin di gawang Terengganu.
Kuching City meneruskan momentum serangan dengan beberapa gerakan merbahaya daripada Tchetche Kipre untuk mendapatkan gol.
Terengganu dilihat masih mencari rentak dengan beberapa gerakan mudah dipatahkan oleh benteng Kuching City.
Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung pada babak kedua, Terengganu mula mempamerkan corak permainan sebenar dengan menekan benteng Kuching City.
Pada minit ke-50, Terengganu dihadiahkan sepakan penalti selepas Ismaheel Akinade ditarik dari belakang oleh Rodney Celvin di kotak penalti. Safawi yang mengambil sepakan itu, tidak berdepan masalah untuk menewaskan Shahril Saari di gawang Kuching.
Mendahului satu gol, Terengganu meneruskan momentum serangan dengan beberapa gerakan merbahaya ke gawang Kuching City.
Tchetche Kipre hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-64 selepas situasi kelam kabut di hadapan gol namun tandukan beliau tidak menepati sasaran.
Kuching City akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 yang memanfaatkan peluang terhidang di hadapan gol ketika Suhaimi sudah lebih awal tertewas.
Tiada tambahan jaringan dihasilkan selepas itu sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.
Untuk aksi seterusnya, Kuching City bakal berdepan Selangor FC dalam saingan Piala FA manakala Terengganu pula akan bertemu Sabah FC juga dalam saingan Piala FA.