Kuching City FC terpaksa melupakan khidmat Danial Amier Norhisham dan Ramadhan Saifullah menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Danial dan Ramadhan tidak dapat beraksi disebabkan status mereka sebagai pemain pinjaman JDT. Perkara ini turut disahkan pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak.
Danial menyertai pasukan yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu sejak awal musim 2024/25. Manakala Ramadhan pula menyertai Kuching City dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M).
“Buat masa ini, tidak ada penggantungan. Tapi sesetengah pemain (Danial Amier dan Ramadhan Saifullah) yang kita pinjam dari JDT, semua tahu mereka tidak akan bermain. Normal dalam peraturan,” katanya kepada Nadi Bola.
Selain duo berkenaan, Aidil juga memantau tahap kecergasan penjaring terbanyak The Cats, Jordan Mintah. Ini kerana bekas penggempur Terengganu FC itu masih belum cergas akibat masalah kecederaan.
Sekiranya tahap kecergasan Mintah belum berada pada tahap memuaskan, Aidil terpaksa melupakan khidmatnya untuk aksi menentang JDT.
“Dan juga Jordan Mintah, masih belum (capai tahap kecergasan) 100%. Kita akan tengok bagaimana keadaan dia.
“Kalau (kadar pemulihan Mintah) tidak menunjukkan peluang yang bagus, kita tidak akan mengambil risiko kecederaannya,” tambahnya.
Meskipun tempang tanpa beberapa tonggak utama, Aidil dijangka menurunkan beberapa muka baru Kuching City di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Antara muka baru yang bakal diketengahkan jurulatih Singapura itu ialah Hazwan Bakri dan bekas tonggak import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Moses Atede.
Harimau Selatan dan The Cats bakal berentap di SSI pada 27 September ini.