Penyerang legenda Leicester City, Jamie Vardy bakal meninggalkan pasukan itu pada akhir musim 2024/25.
Penyerang berusia 38 tahun itu mengumumkan keputusan tersebut di semua platform media sosial beliau. Pengumuman ini menandakan tamatnya era beliau selama 13 tahun di Stadium King Power.
“Sedih hari ini akhirnya tiba tapi saya tahu ia akan muncul juga. Saya mengalami 13 tahun yang menakjubkan di kelab ini dengan pelbagai kejayaan, ada juga kisah sedih tetapi majoritinya bersifat manis.
“Akhirnya, inilah masa untuk mengumumkan hari di mana saya amat sedih. Tapi saya fikir ini masa yang tepat, saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kerana menerima saya menjadi sebahagian daripada anda,” katanya dalam satu kenyataan.
Meskipun beliau tidak lagi bersama The Foxes, kelab tersebut akan sentiasa berada di hatinya untuk tahun-tahun yang mendatang.
“Leicester akan sentiasa memiliki ruang besar dalam hati saya dan saya akan pastikan saya akan terus mengikutinya untuk tahun-tahun mendatang. Saya harap akan ada lebih banyak kejayaan untuk kelab ini.
“Tetapi buat masa sekarang, inilah ucapan selamat tinggal saya tetapi anda akan melihat saya lagi, saya janji,” ujarnya.
Pengerusi The Foxes, Aiyawatt Srivaddhanaprabha menganggap Vardy sebagai insan istimewa yang menjadi watak utama kisah kejayaan kelab itu. Ini termasuk kejayaan bergelar juara liga pada 2015/16.
“Jamie seorang yang unik. Beliau seorang pemain yang istimewa dan juga seorang insan yang hebat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
“Beliau berada di hati semua orang yang memiliki hubungan dengan Leicester City dan beliau sudah pasti mendapat rasa hormat dan sayang daripada saya.
“Saya amat bersyukur atas segala sumbangan yang beliau telah berikan kepada kelab bola sepak ini.”
Selepas menyertai Leicester dengan yuran perpindahan £1 juta (RM5.8 juta) dari Fleetwood Town pada 2012, Vardy telah melakar pelbagai kejayaan bersama pasukan itu.
Beliau pernah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), The Emirates FA Cup, Liga Kejohanan dan The FA Community Shield.
Vardy juga pernah menjadi pemenang Kasut Emas EPL pada musim 2019/20 dan Pemain Terbaik EPL untuk musim 2015/16.