Berita kurang baik menyelubungi kem Kedah Darul Aman menjelang penamat saingan musim 2024/25.
Pada pertengahan musim, Sang Kenari telah kehilangan beberapa tonggak penting yang meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan.
Pemergian ini disusuli oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang memilih untuk meninggalkan pasukan seterusnya dilantik selaku pengendali Malaysia B-23.
Masalah luar padang yang melanda kem Kedah jelas memberikan tamparan hebat selain beberapa muka baharu dari skuad Kedah B-23 terpaksa dibawa masuk.
Kedah yang kini dibimbing oleh Victor Andrag merekodkan 6 kekalahan dan satu sahaja keputusan seri dalam 7 perlawanan sekali gus mencerminkan keadaan bilik persalinan pasukan.
Baru-baru ini, ayam tambatan pasukan iaitu Syafiq Ahmad telah memberi bayangan awal bakal meninggalkan Sang Kenari.
Hal ini selepas beliau dan keluarganya dilihat mula memindahkan barangan di rumah milik mereka di Kedah setelah dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim ini.
Pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Daud Bakar bagaimanapun optimis untuk memastikan bahawa Kedah terus bersaing di Liga Super bagi musim 2025/26.
“Kami bertekad dan komited untuk beraksi di musim akan datang dan di peringkat yang sama, Liga Super,” katanya kepada Astro Arena.
Kedah kini menghuni tangga ke-11 Liga Super hasil 6 kemenangan, 6 seri dan 11 kekalahan dengan 21 mata.