Anak jati kelahiran Miri Sarawak, Dylan Groenenboom kini menembusi pasaran Liga Belanda.
Menurut laman Frfuturetalents, tonggak muda berusia 15 tahun itu merupakan pemain kacukan Malaysia-Belanda yang kini mula menempa nama di kancah liga Eropah.
Pemain sayap kiri lincah itu menamatkan teka-teki perjalanan kariernya apabila menandatangani kontrak bersama kelab Belanda, Sparta Rotterdam B-17.
Beliau memiliki peluang untuk beraksi bersama kelab gergasi Belanda, Ajax Amsterdam namun yakin keputusan untuk menyertai Sparta adalah yang terbaik buat masa ini.
Pemain berketinggian 1.8 meter itu kini membantu pasukan untuk bersaing dalam kancah U16 Division 1 Spring di Belanda untuk mendapat lebih banyak minit bermain.
Malaysia juga memiliki pemain kelahiran Sarawak yang mencipta nama di Eropah seperti Dion Cools dan kini beberapa pemain lain seperti Mats Deijl, Iggy Heuben turut berkelana di Eropah.
Sekiranya hasrat untuk melihat beliau mewakili Malaysia menjadi kenyataan, beliau berpotensi untuk memperkuat skuad B-16 negara kendalian Javi Jorda pada kejohanan mendatang.