Pemain pertahanan skuad kebangsaan Malaysia, Dion Cools kini menyertai syarikat pengurusan atlet yang dimiliki bekas pemain kebangsaan, Junior Eldstal.
Dion yang kini beraksi bersama Buriram United menjadi salah seorang atlet di bawah naungan Mirage Sports yang dimiliki sepenuhnya oleh Junior yang kini masih lagi bergelar pemain profesional.
Syarikat Mirage Sports bukan sahaja menguruskan atlet malah turut berperanan dalam hal-hal lain berkaitan atlet seperti memastikan atlet di bawah pengurusannya mempunyai perniagaan dan kehidupan peribadi yang lebih baik.
Selain itu, syarikat tersebut juga membantu dalam memacu kandungan yang melibatkan peminat ke arah kesan maksimum di media sosial.
Antara klien besar yang menjalani usahasama bersama Mirage Sports adalah Adidas, Under Armour, Samsonite dan Sonos.
Selain Dion Cools, terdapat empat lagi pemain kebangsaan yang turut menyertai Mirage Sports iaitu Darren Lok, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Dominic Tan.
Biarpun sudah berkecimpung di dalam dunia perniagaan, Junior Eldstal kini masih lagi bergelar pemain profesional bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dilihat masih berlatih bersama rakan-rakan sepasukan di padang latihan.